Tuesday, July 28, 2009

TeRKiLaN DeNGaN CoNVeX'09...

Ahad yang lalu, NYDP PERKASA, Hajar telah menghadiri satu ceramah mengenai Gerai CONVEX'09 dan juga telah mencabut undi bagi nombor gerai. Saya telah menelefon beliau dan meminta keputusan mengenai nombor gerai bagi PERKASA. Keputusannya, kami mendapat gerai bernombor 59 yang terletak di kedudukan 'corner'. Alangkah gembira tidak terkata kerana kedudukan gerai di bahagian 'corner' akan banyak membantu meningkatkan jualan kami. Saya pun terus mencetak risalah comel dan meletakkan nombor gerai kami agar publisiti dapat dikerah secepat mungkin. 

Namun, malangnya kesilapan teknikal dari pihak pengurusan gerai CONVEX'09 telah menyebabkan kami dilanda kesedihan dan kerugian dari segi risalah. Petang Ahad tersebut juga, Hajar telah menerima satu panggilan telefon dari pihak pengurusan gerai CONVEX'09 menyatakan gerai bernombor 59 telah ditender oleh pihak lain. Hal ini mencetuskan rasa marah dan terkilan kerana risalah kami telah banyak dicetak dan kami telah membuat perancangan rapi bagi publisiti gerai kami. 

Tambahan pula, kami diberikan pilihan untuk memilih 3 gerai. Sekiranya kami diberi pilihan sebegitu, untuk apa undian dijalankan? Apa motif mereka mewujudkan sistem sistem undian sekiranya kami diberi pilihan yang terhad? Saya dan Hajar telah mengemukakan ketidakpuashatian kepada mereka Isnin yang lalu, tapi kami masih tidak mendapat kepastian berhubung perkara ini. Dimana kreadibiliti pihak pengurusan gerai CONVEX'09? Sepatutnya mereka mengasingkan nombor-nombor gerai yang terlibat dalam tender dan tidak memasukkan nombor gerai yang bakal ditender ke dalam sistem undian. Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada pihak kami kerana publisiti kami masih belum dikerah dan kami hanya duduk menunggu panggilan telefon dari pihak mereka untuk menyatakan status nombor gerai kami.

Memang tidak dinafikan bahawa setiap pengurusan pasti menghadapi masalah dan kami sedia memaafkan kesilapan mereka. Namun saya berharap pengurusan bagi gerai CONVEX'09 haruslah lebih berkualiti. Mereka bernasib baik kerana perkara ini membabitkan kami, pelajar USM sendiri, namun bagaimana sekiranya perkara ini melibatkan pihak peniaga persendirian atau peniaga luar? Tidakkah nama USM yang mendapat cemuhan? 

Tindakan menceritakan kesilapan pihak pengurusan gerai CONVEX'09 ini bukanlah untuk memalukan sesiapa, namun ingatlah wahai pelajar-pelajar USM, universiti kita kini merupakan Universiti APEX. Janganlah kita cuai dalam melakukan tugas dan tanggungjawab kita terutama dalam projek besar seperti CONVEX  ini kerana yang mendapat cemuhan nanti bukanlah diri anda secara individu namun USM seluruhnya. 

Saya memohon maaf kerana menyatakan rasa ketidakpuashatian saya di blog ini. Namun sekiranya pihak kami mendiamkan diri, mereka tidak akan sedar yang mereka telah melakukan kesilapan teknikal yang besar. Saya hanya berharap mereka belajar dari kesilapan dan bijak dalam menangani masalah seperti ini. Semoga CONVEX'09 menempa kejayaan dan mendapat sambutan yang hangat.

No comments:

Post a Comment